Tuesday, December 7, 2010

Tasik Paya Bungor Kotor


Nampak gayanya tibalah masa Tok Moh untuk bertindak mengatasi masalah ini. Mungkin juga Tok Moh perlu memulakan langkah mencebur diri di dalam arena politik dengan lebih aktif untuk mempertahankan ketuanan melayu dan memulihara bumi melayu daripada dicemar. Diharap satu hari nanti kita akan memanggil beliau YB DaT0k Moh.

Yaxe.


Tasik Paya Bungor kotor

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my
2010/12/08

Lokasi sukan air SUKMA kini tempat longgokan sampah

KUANTAN: Suatu ketika dulu, pusat rekreasi Tasik Paya Bungor yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar ini berhampiran Jalan Kuantan-Sri Jaya meriah dengan pelbagai aktiviti sukan air dan riadah.

Kedudukannya yang strategik sering menggamit pengguna jalan raya menghentikan kenderaan buat seketika untuk menikmati keindahan tasik dan panorama alam semula jadi.

Ketika itu juga pelbagai kemudahan seperti rumah persinggahan, surau, kedai makan, tandas awam dan kawasan rehat disediakan bagi kemudahan pengguna jalan raya yang ingin merehatkan badan atau bersantai seketika bersama keluarga sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.

Tasik Paya Bungor pernah menjadi lokasi acara sukan air seperti berkayak dan lumba perahu ketika Pahang menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA), 16 tahun lalu.

Namun kini, segala keindahan dan kedamaian Tasik Paya Bungor dan kawasan sekitarnya bertukar sepi dan suram.

Tinjauan mendapati semua kedai dan rumah persinggahan sudah dirobohkan kecuali tandas awam dan surau tetapi kemudahan terbabit langsung tidak boleh digunakan. Malah, ia kotor dan menjijikkan.

Pengguna jalan raya boleh melihat kawasan itu kini tidak ubah seperti tapak pembinaan yang terbengkalai dan kesannya boleh dilihat apabila banyak kepingan kayu, bahan konkrit, papan lapis dan kepingan zink dibiarkan begitu saja.

Penduduk kawasan itu mendakwa kerja merobohkan bangunan kedai dan rumah persinggahan berkenaan dilakukan sejak Julai lalu tetapi terbengkalai menyebabkan menjadi tanda tanya kepada mereka yang melihatnya.

Orang ramai yang ditemui berasa kesal dan kecewa dengan keadaan pusat rekreasi itu dan meminta campur tangan kerajaan bagi menghidupkan kembali kawasan yang berpotensi menjadi produk pelancongan Pahang.

Kakitangan swasta, Fatimah Ismail, 47, berkata kerajaan melalui agensi pelancongan perlu bertindak segera membaik pulih kawasan itu bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke daerah ini.

“Saya yakin, lokasi ini akan menjadi tumpuan jika ada usaha memajukan semula sebagai kawasan untuk aktiviti memancing dan pelbagai sukan air termasuk berkayak," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Bungor, Awang Kechik Jais, 63, berharap ada pihak yang tampil menyelesaikan masalah itu secepat mungkin bagi mengelak menjadi sarang penagih dadah dan maksiat.

Awang Kechik yakin orang ramai tidak keberatan berhenti rehat di tasik itu jika lokasi berkenaan dibangunkan semula dengan kemudahan prasarana serba lengkap sambil merehatkan badan menikmati pemandangan di sekitar tasik itu.

Pelajar kolej swasta, Aimuni Zafirah Azam, 19, berkata kawasan itu perlu dibaik pulih bagi membolehkannya menjadi lokasi pelancongan tumpuan ramai.

“Saya berharap kerajaan negeri membuka mata dan memberi peluang kepada syarikat yang berminat untuk membangunkan kawasan pelancongan itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Sohaimi Jusoh, berkata masalah itu sering dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah dengan harapan ia dapat dipulihkan segera.

"Saya berharap pihak terbabit yang sudah dilantik bertindak segera membersihkan kawasan hadapan taman bagi mengelakkan imej negatif di mata penduduk tempatan termasuk pelancong luar negara yang melalui kawasan ini," katanya.